Song

Tuesday, May 29, 2012

  Setiap individu merupakan anggota masyarakat .Masyarakat membawa dua pengertian.Pertama,masyarakat yang terdiri daripada kumpulan manusia berasaskan keturunan dengan bahasa dan budayanya yang tersebdiri.Misalnya masyarakat Melayu,Cina,India,Iban, Kadazan dan sebagainya.Kedua, masyarakat yang terdiri daripada kumpulan manusia yang hidup bersama di sesuatu tempat,daerah atau negara ataupun lebih dikenali sebagai komuniti,misalnya Taman Perumahan Bukit Katil,Kampung Simpang Empat,Daerah Kuala Selangor,negeri Sabah dan lain-lain.
  Tiap-tiap individu mempunyai kehendak,sifat,kemahuan,kepentingan,pandangan, fikiran dan kebolehan yang tersendiri.Jika tiap-tiap individu bertindak dan berkelakuan dengan tidak mengambil kira kepentingan atau sensitiviti individu lain dalam komunitinya,akan wujud keadaan kacau-bilau.Kita tidak akan menikmati keamanan,ketenangan,ataupun kesejahteraan.Oleh itu,komuniti mempunyai norma komuniti,peraturan dan undang undang untuk mengawal kehidupan dan perilaku anggotanya.
  Norma komuniti ialah peraturan atau amalan-amalan yang menjadi kebiasaan dan diterima oleh komuniti.Norma-norma ini boleh dipelajari melalui keluarga,sekolah,dan contoh-contoh perlakuan anggota komuniti yang lain.Biasanya, ia disampaikan secara tidak rasmi atau secara tidak langsung.Jika seseorang melanggar norma komuniti ini,dia dianggap sebagai tidak beradab atau tidak bersopan.Misalnya,menyampuk atau memotong perbualan orang dengan tidak meminta izin terlebih dahulu walaupun kita menpunyai idea yang lebih baik dan bernas.Oleh itu,sebagai anggota sesebuah komuniti,kita hendaklah sentiasa berkelakuan sejajar dengan batas-batas norma komuniti kita.Sebagai individu,kita memerlukan individu lain dalam komuniti kita,sama ada secara langsung atau tidak langsung.
 Sekiranya kita berkelakuan di luar batasan norma komuniti,anggota komuniti norma komuniti yang lain mungkin akan memulaukan kita,enggan membantu jika kita menghadapi masalah atau enggan bekerjasama dengan kita.Kita bukan sahaja hidup terpinggir malah sukar untuk mendapat kawan.Oleh yang demikian,sebagai anggota komuniti,kita hendaklah mengetahui norma-norma komuniti kita dan mengamalkannya.Contohnya,menghormati orang yang lebih tua,membantu wanita dan kanak-kanak melaksanakan sesuatu kerja yang berat,membantu orang yang kurang upaya,menjaga kebersihan tandas dan tempat awam,tidak meludah di merata tempat,memperlahankan bunyi radio dan televisyen apabila sudah larut malam,dan meletakkan kenderaan di tempat yang sesuai agar tidak menghalang laluan orang lain.
  Peraturan ialah sesuatu yang ditetapkan dan harus dipatuhi oleh anggota komuniti.Peraturan mungkin tidak bertulis tetapi dimaklumi oleh anggota komuniti atau digubal secara rasmi dan dicetak untuk pengetahuan anggota komuniti.Tujuan peraturan adalah untuk menjadi panduan dan mengawal kelakuan dan tindakan individu supaya sesuatu komuniti wujud dalam keadaan yang sejahtera,aman,dan teratur.Sebagai rakyat negara demokrasi,kebebasan individu dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.Namun begitu,kebebasan individu ini dikawal oleh pelbagai peraturan dan undang-undang.
  Undang-undang ialah peraturan yang digubal secara rasmi oleh pihak yang berkuasa untuk mengawal kelakuan dan tindakan anggota sesuatu komuniti.Undang-undang dicetak untuk tatapan dan kajian anggota komuniti.Undang-undang mestilah diketuai dan dipatuhi.Sesiapa yang melanggar undang-undang dikatakan telah melakukan kesalahan,dia boleh dan patut didenda oleh pihak yang berwajib.Seseorang itu tidak boleh memberi sebarang alasan"saya tidak tahu" tentang sesuatu undang-undang untuk terlepas daripada melakukan kesalahan.

 Di negara kita,terdapat banyak undang-undang.Misalnya untuk kepentingan golongan remaja yang belum matang,kerajaan mewujudkan pelbagai undang-undang seperti Akta Mahkamah Juvarna,Akta Perlindungan Kanak-kanak,Akta Penjara dan lain-lain.Salah laku juvenil yang merujuk kepada perbuatan jenayah yang dilakukan oleh remaja yang berusia di bawah 21 tahun akan didakwa di Mahkamah juvana.Mereka yang sabit kesalahan dikategorikan sebagai banduan muda bagi mereka yang berusia 18 hingga 21 tahun,manakala yang berusia antara 14 hingga 18 tahun dikategorikan sebagai banduan juvenil dan mereka yang berusia di bawah 14 tahun dikategorikan sebagai pesalah kanak-kanak.
  Sesungguhnya,manusia tidak boleh atau tidak mampu hidup bersendirian.Seseorang individu memerlukan orang lain untuk pelbagai tujuan dan kepentingan.Tanpa norma komuniti,peraturan dan undang-undang ini,kehidupan bermasyarakat pasti akan menjadi kucar-kacir,tidak tenang,tidak aman,dan tidak sejahtera.Justeru,kita seharusnya mematuhi norma komuniti,peraturan dan undang-undang demi kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat dan negara.